SHAH ALAM – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM48,000 terhadap bekas Ketua Pengarah Malaysian Institute of Road Safety (MIROS) kerana memalsukan dokumen sebut harga bagi 16 kenderaan dalam ujian pelanggaran, enam tahun lalu.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim, 48, mengaku bersalah terhadap kesemua empat pertuduhan pilihan yang dihadapinya.
Khairil Anwar didakwa memalsukan dokumen sebut harga bagi pembekalan 16 kenderaan termasuk Suzuki Carry 660cc dan Chery Transcab 1.1L dari empat buah syarikat berlainan dengan niat menipu.
Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama, bagi setiap pertuduhan.
Peguam Revin Kumar merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan iaitu isteri dan empat anak yang masih bersekolah termasuk seorang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), di samping menghidapi penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi.
Selain itu, anak guamnya berkelulusan Ijazah Doktor dari Universiti UCSI dan merupakan seorang Profesor Adjung di Malaysia-Japan International Institute of Techonolgy, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.
Sebelum ini tertuduh bertugas sebagai Ketua Pengarah MIROS dan pernah menyandang jawatan Setiausaha Agung Program Penilaian Kenderaan Baharu untuk Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).
“Dalam tempoh perkhidmatan, tertuduh merupakan pengasas pertama program ASEAN NCAP dan satu-satunya pusat penilaian di Asia Tenggara.
“Sumbangan tertuduh bukan sahaja kepada negara kita, malah negara-negara di Asia Tenggara,” katanya.
Hakim kemudiannya menetapkan hukuman denda RM12,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar denda bagi setiap empat pertuduhan pilihan. – MalaysiaGazette